Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Aysar Hadi dipanggil bagi menggantikan tempat Dominic Tan dalam Harimau Malaya menjelang kejohanan ASEAN Hyundai Cup 2026.
Menerusi sebuah hantaran di laman media sosial Malaysia National Team, kelibat Aysar Hadi dipanggil oleh pengendali interim pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menggantikan Dominic Tan di jentera pertahanan
Sungguhpun begitu, tiada sebab khusus yang dinyatakan berkenaan pengguguran Dominic Tan pada kem latihan kebangsaan kali ini dengan 25 nama nama pemain yang lain masih lagi dikekalkan menjelang aksi pertama nanti.
Aysar Hadi antara tonggak penting di bahagian pertahanan skuad Malaysia B-23 pada kempen Kelayakan Piala Asia B-23 tahun lalu selain membantu pasukan muda negara membawa pulang pingat gangsa di Sukan SEA 2025.
Pemain berusia 23 itu juga menjadi watak penting kepada kejayaan skuad JDT II sehingga berjaya muncul juara Piala MFL 2024-2025 dan Liga A1 Semi-Pro pada musim lalu.
Kehadiran Aysar Hadi pastinya akan menjadi salah satu pilihan terbaik buat Tan Cheng Hoe untuk membentuk gandingan ampuh di benteng pertahanan negara bersama 6 lagi pemain seperti Rodney Calvin, Ubaidullah dan Alif Ahmad.