Bekas tonggak kebanggaan Sri Pahang FC, Azamuddin Akil menyeru seluruh penyokong setia Tok Gajah agar terus memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka pada perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), yang dijadual berlangsung pada 12 April ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Azamuddin atau lebih dikenali sebagai Alex, yang pernah menjadi sebahagian daripada skuad emas Pahang ketika merangkul kejuaraan Piala Malaysia dua musim berturut-turut pada 2013 dan 2014, mengakui sedar akan cabaran serta isu dalaman yang sedang melanda kelab itu. Namun, beliau berharap perkara itu tidak menjejaskan semangat juang barisan pemain mahupun penyokong setia.
Beliau yakin, walau apa pun yang berlaku di sebalik tabir, kehadiran penyokong di stadium mampu menjadi pembakar semangat buat para pemain untuk menghadirkan persembahan terbaik mereka dalam aksi kemuncak tersebut.
“Pendapat saya, barisan pemain diharapkan dapat meneruskan fokus mereka untuk aksi final pada 12 April ini dan berkenaan pembubaran pasukan ini pada musim depan, seeloknya serahkan sahaja kepada pihak pengurusan.
Saya tetap positif dengan masa depan kelab ini sebab kita tahu semua rakyat Pahang menyayangi pasukan ini dan kalau tiada Sri Pahang, ia akan jadi kehilangan yang besar.
Jadi saya tetap berharap perlawanan final itu nanti akan menjadi aksi yang diingati dan saya menyeru kepada semua penyokong untuk tetap hadir ke stadium sokong pasukan Pahang.
Kalau kemungkinan kelab ini tetap bubar, sekurang-kurangnya kita jadikanlah perlawanan final ini nanti sebagai satu kenangan manis untuk kita semua yang sayangkan pasukan Pahang,” jelas Azamuddin penuh semangat.
Pemain kelahiran Pahang itu juga merupakan antara ikon bola sepak negeri yang cukup disegani, apatah lagi beliau memainkan peranan penting dalam membantu pasukan menjulang trofi Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2014 – tahun gemilang buat Sri Pahang FC.
Azamuddin dalam masa yang sama berharap semangat juang tidak luntur dan penyokong terus bersama pasukan hingga ke wisel penamat di Bukit Jalil nanti. Baginya, perlawanan ini bakal menjadi momen paling bermakna buat seluruh penyokong Tok Gajah yang tidak pernah berhenti mencintai pasukan walau diuji pelbagai cabaran.
📅 Tarikh: 12 April 2025
📍 Lokasi: Stadium Nasional Bukit Jalil