Bekas pemain kebangsaan, Azman Adnan mahu melihat penyerang-penyerang muda ini mampu membuktikan kelebihan yang mereka miliki untuk membawa pasukan Harimau Malaya ke satu peringkat yang tinggi.
Bagaimanapun, Azman meminta para peminat supaya tenang dan memberi ruang kepada jurulatih baharu menilai dari setiap sudut untuk membina pasukan yang lebih baik.
Dalam pada itu, Azman turut menjelaskan bahawa pemain juga perlu bertungkus lumus melunaskan satu matlamat bagi penentu hala tuju kejayaan pasukan negara, bukan mengharapkan bantuan daripada jurulatih sahaja.
“Kalau nak cerita tentang penyerang, ketika Piala AFF memang penyerang kita tidak menjadi. Bukan saya saja, peminat juga mengharapkan pemain seperti Luqman Hakim Shamsudin dan pemain muda lain mampu tampil lebih cemerlang.”
“Flanker kita ada tetapi kita tidak ada ‘penyerang ortodok’. Selain daripada bantuan daripada jurulatih, pemain yang kena tentukan hala tuju kejayaan pasukan negara,” katanya pada Kosmo.
“Pemain pun sudah diumumkan dan sekarang kita bagi ruang kepada jurulatih menilai untuk membentuk pasukan kebangsaan yang lebih mantap. Saya tidak kisah siapa pun yang dipanggil tetapi saya mahukan kualiti dan pemain terpilih mampu bermain bermati-matian untuk negara,” katanya.
Dalam masa sama, Azman juga tidak kisah dengan senarai pemain yang dipanggil Pan-gon kerana keutamaan adalah untuk melihat Harimau Malaya kembali mengaum di pentas antarabangsa.
Khidmat Luqman dan Syafiq bakal dilihat cukup penting dalam pasukan kebangsaan, mereka mahu membuktikan bahawa kehadiran ke dalam skuad ini bakal memainkan peranan yang penting terutamanya bagi menajamkan lagi barisan serangan Harimau Malaya.