Jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali memuji semangat juang yang dipamerkan pasukan itu meskipun mereka tersingkir daripada saingan Unifi Piala Malaysia.
Peteh terpaksa menelan kepahitan apabila tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir dengan keputusan agregat 6-1.
Meskipun begitu, barisan pemain Terengganu mempamerkan aksi terbaik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Malah, mereka berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi Ismaheel Akinade.
Pada akhirnya, jaringan kemenangan Heberty Fernandes menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan. Walaupun tewas, Badrul menyifatkan persembahan Peteh cukup memuaskan.
“Tahniah kepada pemain-pemain. Walaupun kita tahu bukan senang beraksi di JDT dan kita ketinggalan 4-0, saya puji pemain-pemain hari ini,” katanya selepas perlawanan.
“Kalau kita tengok pada babak pertama dan kedua, pemain-pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi.
“Walaupun kita mendapat satu gol pada babak kedua tapi pada minit akhir, kita hilang fokus. Kita kena jaringan pada minit-minit akhir.”
Tumpuan Terengganu kini beralih kepada aksi terakhir Kumpulan A Shopee Cup di Thailand. Ini kerana mereka akan berdepan BG Pathum United pada 6 Februari ini.