Bekas jurulatih berpengalaman negara, Irfan Bakti memuji kualiti penyerang baharu JDT, Jorge Obregon.
Tonggak kelahiran Colombia itu baru sahaja menyertai skuad Harimau Selatan pada jendela perpindahan kedua daripada kelab Croatia, HNK Rijeka.
Pemain berusia 27 tahun itu tampil cemerlang untuk memastikan kemenangan besar 5-0 ke atas Penang dan menyumbang dua jaringan.
Menurut pemerhatian Irfan Bakti, kehadiran Obregon memberikan dimensi berbeza kepada jentera serangan Harimau Selatan berbanding penyerang sedia ada.
Beliau melihat kekuatan utama pemain itu adalah apabila beliau kekal berada dalam kawasan penalti lawan untuk menghidu peluang.
“Saya melihat kekuatan Obregon ini berbeza daripada Bergson. Bergson merupakan penyerang yang sentiasa keluar untuk mendapatkan bola.
“Akan tetapi, Obregon lebih selesa berada dalam kawasan penalti dan memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki. Saya lihat itulah kekuatan yang dimiliki oleh pemain ini,” jelasnya ketika menjadi pengulas di RTM.
Pasukan bimbingan Hector Bidoglio akan memulakan kempen Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pada 18 September 2024 menentang Shanghai Port.
Pengendali kelahiran Argentina itu yakin anak buahnya itu semakin baik dengan kehadiran pemain baharu ke dalam pasukan.
“Pemain-pemain baru menambah baik skuad kita. Amat sukar untuk aksi pertama rasmi mereka tetapi pemain-pemain baru memahami semua situasi.
“Saya gembira dengan pemain-pemain baru, saya gembira dengan semua pemain saya. Dan hari ini, kita ada peluang yang bagus untuk menunjukkan potensi kita dan menunjukkan JDT bertambah bagus,” katanya sebelum perlawanan.