Di sebalik kejadian yang menimpa anak beliau, bapa Faisal Halim tidak cepat melatah dan reda dengan kejadian telah berlaku.
Bapanya, Abdul Halim Saad berkata beliau meletakkan sepenuh pengharapan kepada Yang Maha Esa dan redha diatas setiap ujian yang menimpa keluarganya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mendoakan agar pelaku kepada insiden ini diberikan petunjuk agar kembali bertaubat di atas perbuatannya ini.
“Saya reda dan percaya ada hikmah disebaliknya, saya terima. Saya harap individu yang melakukan perkara ini diberikan hidayah dan pintu hatinya terbuka sebagai seorang Muslim,” katanya menurut laporan Astro Arena.
Beliau turut berkongsi perkembangan terkini mengenai keadaan Faisal yang hanya boleh dilawati oleh isterinya sahaja buat masa ini bagi mengelakkan kejadian tak diingini terjadi.
“Hanya isteri dia dibenarkan masuk ketika ini bagi mengelak jangkitan serta trauma dan menjaga emosi dia,”
Faisal kini masih ditempatkan di bawah pemantauan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan maklumat terkini diterima adalah mengenai prosedur implan kulit yang akan dijalankan bagi merawat kelecuran tahap empat yang dialaminya.
Pemain utama Selangor FC ini menunjukkan petanda positif selepas menjalani dua pembedahan sebelum ini apabila dimaklum beliau sudah mula untuk menjamah makanan dan melakukan aktiviti ringan.