Bekas Bintang Chelsea Diserang Penyokong Kelab Turki
TV
Fenerbahce
Advertisements

Bekas penyerang Chelsea, Michy Batshuayi menjadi mangsa serangan penyokong kelab Turki, Trabzonspor dalam aksi terbaru Turkish Super Lig hari ini.

Perlawanan tersebut menyaksikan Fenerbahce meraih kemenangan 3-2 di tempat lawan awal pagi ini.

Bagaimanapun, tindakan barisan pemain pelawat meraikan kemenangan di atas padang selepas tamat perlawanan mengundang kemarahan penyokong Trabzonspor.

Advertisements

Keadaan ini mendorong sekumpulan penyokong kelab itu menceroboh padang dan mengejar barisan pemain Fenerbahce termasuk Batshuayi.

Selepas melihat seorang penyokong meluru ke arahnya, penyerang Belgium berusia 30 tahun itu cuba menyepak penyokong berkenaan tetapi tidak mengenai sasaran.

Rakan sepasukan Batshuayi, Bright Osayi-Samuel dilihat menjatuhkan seorang penyokong Trabzonspor dan menumbuknya sebagai cara untuk mempertahankan diri.

Advertisements

Pemain-pemain Fenerbahce kemudiannya dibawa masuk ke bilik persalinan sementara pasukan keselamatan Turki mengawal keadaan.

Kedua-dua pasukan dijangka berdepan tindakan daripada Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bola Sepak Turki (TFF) atas apa yang berlaku.

Ini bukan kali pertama saingan Turkish Super Lig dicemari dengan insiden keganasan membabitkan penyokong, pemain dan staf pasukan.

Advertisements

Sebelum ini, presiden kelab Ankaragucu, Faruk Koca dikenakan penggantungan seumur hidup oleh TFF selepas menumbuk seorang pengadil pada Disember 2023.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram