Kejayaan Vietnam mara ke final Piala AFF 2022 sejak final edisi 2018 merupakan sesuatu yang membanggakan. Dan menariknya, kejayaan anak-anak buah Park Hang-seo itu turut mendapat pujian bekas pengurus Chelsea dan PSV Eindhoven, Guus Hiddink.
Hiddink bukanlah orang asing di mata Hang-seo. Ini kerana dia merupakan penolong kepada pengurus legenda Belanda itu semasa melatih skuad Korea Selatan dari 2001 hingga 2002.
Bila diminta mengulas tentang Hang-seo dan skuad Naga Emas, jurulatih Belanda itu menyifatkan kejayaan Hang-seo membentuk skuad Vietnam sebagai sesuatu yang hebat.
“Saya bangga dengan salah seorang penolong saya (Park Hang-seo) berjaya dalam memimpin skuad Vietnam. Saya berharap pasukan itu dapat meraih tiket ke Piala Dunia 2026.
“Saya fikir situasi dalam kejohanan tersebut akan sedikit mudah berikutan pertambahan pasukan yang bertanding di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada,” katanya bila dihubungi portal berita Vietnam Zing News.
Hiddink yang pernah melantik Real Madrid, Valencia dan Australia itu turut berpandangan pemain-pemain Vietnam perlu beraksi di liga Eropah sebagai cara meningkatkan kualiti permainan mereka.
Ketika ini, satu-satunya pemain Vietnam yang beraksi di liga Eropah ialah Nguyen Quang Hai. Quang Hai beraksi di kelab Ligue 2, Pau FC.
“Sukar bagi saya menilai keadaan bola sepak di negara yang jauh. Tetapi kelab-kelab dan persatuan bola sepak kebangsaan mempunyai peranan penting dalam kemajuan pasukan.
“Membangunkan pasukan Olimpik dan pasukan muda yang bagus, anda dapat melihat pemain berkembang dengan cepat. Usia ideal untuk membentuk pemain muda ialah sekitar 16 hingga 21 tahun.
“Jika para pemain Vietnam diminati oleh kelab-kelab asing, mereka ada peluang untuk mengembangkan kemahiran mereka. Bermain di kelab Eropah membolehkan mereka bermain kerap dalam pertandingan-pertandingan terbaik dan itu membantu karier antarabangsa mereka pada masa hadapan,” tambahnya.
Piala AFF 2022 merupakan kejohanan terakhir Hang-seo bersama skuad Vietnam. Justeru, skuad Naga Emas mahu memastikan Piala AFF dapat dijulang untuk edisi kali ini sebagai hadiah perpisahan buat jurulatih berusia 65 tahun itu.
Tetapi bagi merealisasikan impian tersebut, mereka perlu mengatasi Thailand yang juga juara bertahan kejohanan. Thailand pula mahu mengekalkan piala yang dimenangi pada edisi 2020.