Skuad kebangsaan Vietnam bakal menerima seorang pemain pertahanan yang pernah mewakili pasukan bawah 18 tahun Perancis.
Pemain yang dimaksudkan ialah Jason Quang Vinh Pendant atau lebih dikenali dengan nama Jason Pendant. Baru berusia 27 tahun, pemain pertahanan kiri yang beraksi bersama Cong An Ha Noi FC itu kini dalam proses kewarganegaraan Vietnam.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh media terkemuka Asia Tenggara iaitu Asean Football dalam satu hantaran di laman X baru-baru ini.
“Presiden Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Tran Quoc Tuan, telah mengesahkan bahawa VFF sedang mempercepatkan proses naturalisasi untuk pemain Perancis-Vietnam, Jason Quang Vinh Pendant.
“Proses kewarganegaraan Jason dijangka selesai sebelum Mac 2025,” kongsi Asean Football di laman X.
Jika proses ini berjaya, pastinya kehadiran Jason Pendant akan mengisi bahagian pertahanan kiri Vietnam yang sebelum ini diisi pemain yang tidak kurang hebatnya seperti Doan Van Hau yang masih mengalami kecederaan tumit.
Untuk rekod, Jason Pendant pernah merekodkan dua penampilan bersama skuad Perancis bawah 18 tahun selain 16 penampilan bersama skuad bawah 16 tahun Perancis.
Kini skuad kebangsaan Vietnam telah diperkuatkan beberapa pemain naturalisasi mahupun pemain warisan seperti Filip Nguyen (Penjaga gol) dan Rafaelson (penyerang).