Bekas penyerang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Layth Kharoub sah menyertai kelab Libya, Al-Borouq.
Perpindahan ini diumumkan kelab Libyan Premier League (LPL) di platform rasmi mereka baru-baru ini.
“Pemain yang kental dan setia, datang dari kiblat pertama. Selepas beraksi bersama skuad kebangsaan Palestin dan beberapa kelab Arab, selamat menyertai kelab kami, Layth Kharoub,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Perpindahan ini sekaligus menamatkan teka-teki tentang status Layth selepas meninggalkan Kelantan DN.
Ini menjadikan beliau pemain terbaru yang meninggalkan Sang Kijang Emas selepas adiknya, Oday Kharoub, Washington Brandao, Kim Li-kwan dan Aung Kaung Mann.
Menariknya, Layth dan Oday bakal berentap dengan pasukan berbeza dalam saingan LPL. Ini kerana pemain tengah Palestin itu menyertai Al-Ahly Benghazi.
Selain mereka, dua bekas penyerang Kelantan DN turut mewarnai saingan LPL iaitu Valdumar Augusto dan Chadrack Muzungu. Valdumar dan Mazungu masing-masing mewakili Al-Nasr dan Al-Tahaddy.