“Belum Ada Pasukan Nyatakan Mahu Tarik Diri” – Stuart Ramalingam
Liga Super
Astro Arena
Advertisements

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL) Stuart Ramalingam menegaskan sehingga ke saat ini belum ada pasukan yang menyatakan secara rasmi mahu menarik diri daripada Liga Malaysia 2023.

Kenyataan Stuart itu, sebagai reaksi kepada spekulasi bertiup kencang mengatakan ada beberapa pasukan termasuklah yang beraksi dalam Liga Super musim ini, akan ‘tutup kedai’ kerana mengalami masalah kewangan kritikal.

Perkembangan ini dilihat tidak berapa bagus untuk MFL sendiri kerana berpotensi merencatkan struktur baru Liga Malaysia yang akan dilaksanakan bermula musim depan.

Advertisements

Berita Berkaitan : Dakwaan PJ City Mahu Dijual dan Tarik Diri Dari Liga Malaysia Tidak Berasas

Meskipun sedar akan khabar angin yang bertiup, Stuart menjelaskan ia tidak akan sama sekali menjejaskan perancangan MFL untuk memperkenalkan saingan Liga Super berformat baru.

“Kita ada baca laporan media dan di media sosial, tetapi tiada pemakluman rasmi dari mana-mana pasukan jadi ia kekal sebagai spekulasi. Apatah lagi, kesemua pasukan telah menyerahkan dokumen lengkap bagi urusan pelesenan kelab tahun hadapan.

Advertisements

“Tetapi sekiranya ada pasukan mahu menarik diri, ia keputusan pasukan itu sendiri dan adalah lebih baik mereka berbuat demikian sebelum liga bermula bagi memastikan perubahan format struktur liga pada tahun pertama dapat dilaksanakan.

“Sebelum ini sepatutnya dalam perancangan membabitkan Liga Super, 16 pasukan akan beraksi. Jadi kalau ada satu dua pasukan tarik diri daripada liga, ia tidak mengubah perancangan MFL,” ujar Stuart kepada Bernama.

Tambah beliau lagi, keputusan mengenai pasukan yang telah menghantar dokumentasi menerima atau tidak lesen untuk beraksi dalam Liga Malaysia 2023 akan dibuat pada 12 Oktober.

Advertisements

“Jika mengikut garis masa, 396 dokumentasi penyertaan perlu dilakukan setiap pasukan pada 30 September hingga Selasa ini (11 Oktober) untuk diperiksa oleh unit pelesenan.

“Kemudian keesokannya Jawatankuasa Pelesenan Kelab akan memutuskan pasukan terima atau tidak lesen untuk 2023,” ujarnya.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram