Bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora dilaporkan bakal memilih kelab Mexico, Queretaro FC sebagai pasukan baharunya.
Sebelum ini, jurulatih berusia 45 tahun itu melatih kelab Kanada, York United untuk saingan Canadian Premier League (CPL) musim 2024.
Beliau membantu pasukan itu bukan saja menamatkan liga di tempat keempat. Malah, Mora turut membimbing York United mara ke pusingan playoff kejuaraan CPL sebelum disingkirkan Atletico Ottawa di peringkat suku akhir.
Meskipun merekodkan pencapaian memberangsangkan bersama The Nine Stripes, Mora memilih meninggalkan pasukan itu secara persetujuan bersama. Sejak itu, jurulatih Mexico itu dikaitkan dengan beberapa pasukan termasuk Harimau Malaya.
Kini, wartawan sukan terkenal Argentina, Cesar Luis Merlo melaporkan Mora dilaporkan bersetuju untuk mengambil alih Queretaro. Jawatan jurulatih Los Gallos Blancos kosong selepas jurulatih Argentina, Mauro Gerk memilih meninggalkan pasukan itu baru-baru ini.
“Selepas pemergian Mauro Gerk, Los Gallos Biancos sudah mempunyai calon jurulatih seterusnya, jurulatih Mexico Benjamin Mora.
“Mora difahamkan bakal melatih Queretaro bermula dengan Tourneo Clausura 2025 Liga MX,” katanya.
Mora bukan asing dengan saingan Liga MX kerana pernah melatih kelab Atlas dari 2022 hingga 2023. Musim pertamanya menyaksikan kelab itu menamatkan kempen di tangga kesembilan.
Walau bagaimanapun, kemerosotan prestasi pasukan pada 2023 mendorong pengurusan Los Rojinegros melepaskan khidmatnya pada 30 Oktober 2023.
Mora cukup dikenali kerana meraih trofi Liga Super, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia bersama JDT dari 2018 hingga 2022.