Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva tetap menghormati dua lawan pasukan itu yang seterusnya, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Terengganu FC.
Ini kerana pada hemat beliau, kedua-dua pasukan bukan saja pasukan yang kuat dan mampu memberi saingan kepada JDT.
Malah, ia dilihat persediaan terbaik buat Harimau Selatan sebelum mengharungi pusingan akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
“Ini bukan seperti (perlawanan) pemanas badan atau latihan. Ini lebih kepada perlawanan persediaan (sebelum pusingan akhir ACLE).
“Untuk kita ketengahkan idea kita, apa yang kita mahu lakukan bila berada di Arab Saudi. Ya, ia satu persediaan yang bagus dengan menentang KL City dan selepas itu, Terengganu di laman sendiri.
“Ia satu tempoh yang bagus untuk membuat persediaan dan bersiap sedia untuk cabaran seterusnya yang menanti kita di hadapan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Bergson ditemui selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara KL City dan JDT di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras baru-baru ini.
JDT memiliki bekalan empat gol selepas meraih kemenangan 4-0 ke atas KL City. Kedua-dua pasukan akan bertemu semula dalam aksi separuh akhir kedua pada 7 April ini.
Ini disusuli aksi Liga Super menentang Peteh pada 11 April ini. Kedua-dua perlawanan akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).