Piala Malaysia: JDT Selangkah Ke Final, Mudah Atasi KL City
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menewaskan KL City dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2025-2026.

Kejayaan JDT menumbangkan KL City 4-0 ini memberi kelebihan selesa untuk pasukan bimbingan Xisco Munoz ini pada peringkat separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Bergson dan Jairo Da Silva mengetuai barisan serangan JDT untuk mengasak kubu lawan tatkala The City Boys pula menaruh kepercayaan kepada ketangkasan Quincy Kammeraad di pintu gol.

Gol pembukaan berjaya dihasilkan oleh ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva di minit ke-5 menerusi satu rembatan kencang sekali gus memberikan keceriaan kepada penyokong-penyokong Harimau Selatan yang hadir ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Ager Aketxe terus menggandakan kelebihan buat pelawat hasil jaringan kedua pada minit ke-31 menerusi sepakan percuma cantik membuat pasukan kendalian Risto Vidakovic ketinggalan dua gol kepada juara bertahan itu.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan pelawat, JDT.

Memasuki babak kedua, KL City dilihat melancarkan dua percubaan awal menerusi Safawi Rasid dan Madger Gomes. Namun begitu, kedua-dua percubaan tersebut gagal menemui sasaran ke arah gawang JDT yang dikawal rapi oleh Syihan Hazmi.

Harimau Selatan terus menambah derita buat pasukan The City Boys apabila pemain import di posisi pertahanan, Oscar Arribas, mempamerkan aksi berbisa dengan jaringannya yang memastikan JDT mendahului dengan tiga gol.

Safawi Rasid gagal menyempurnakan peluang pada penghujung separuh masa kedua apabila percubaan satu lawan satu berdepan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi, berjaya dinafikan dengan kemas.

Selepas itu, Ager Aketxe menambah gol peribadi keduanya, sekali gus menghasilkan jaringan keempat pasukan untuk memastikan JDT selangkah ke pentas final Piala Malaysia musim ini.

Aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur berakhir dengan keputusan 0-4 memihak kepada pasukan pelawat, JDT.