BG Pathum United bakal berdepan Terengganu FC dalam aksi terakhir Kumpulan A Shopee Cup dengan jurulatih baharu.
Ini selepas pengurusan The Rabbits mengumumkan pelantikan bekas jurulatih New Zealand, Anthony Hudson sebagai jurulatih baharu mereka.
“Satu lagi babak baru bermula! Selamat datang, Anthony Hudson. Marilah mengejar kejayaan dan mengatasi cabaran baru!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Hudson, 43, dibawa masuk menggantikan Surachai Jaturapattarapong yang meletak jawatan secara mengejut pada 15 Januari lalu. Susulan itu, Supachai Komslip dibawa masuk sebagai pemangku jurulatih sebelum pelantikan bekas jurulatih Al-Arabi itu.
Selain New Zealand dan Al-Arabi, Hudson juga pernah membimbing Bahrain, Al-Markhiya, Colorado Rapids dan skuad Amerika Syarikat Bawah 20 Tahun (B-20).
Beliau telah mengendalikan sesi latihan pertama pasukan itu selepas mereka kembali dari Singapura untuk saingan Singapore Cup. BG Pathum mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan Tanjong Pagar 2-1.
Terengganu dan The Rabbits bakal berentap pada 5 Februari ini bagi menentukan pasukan mana yang bakal mara ke separuh akhir Shopee Cup.