Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin menceriakan kem Malaysia dengan meraih pingat emas kedua Sukan Paralimpik 2024 di Paris, Perancis.
Bonnie meraih emas dalam acara kategori 72 kilogram (kg). Selain meraih emas dalam kategori berkenaan, beliau turut memecahkan rekod dunia powerlifting miliknya dalam kategori sama.
Rekod 231 kg yang dilakarnya sebelum ini dalam World Para Powerlifting Championships di Dubai pada 2023 berjaya dipecahkan Bonnie. Beliau melakar rekod baru semasa melakukan angkatan ketiga dengan berat 233 kg.
Itu sudah cukup buat Bonnie mengatasi cabaran wakil China, Hu Peng yang membuat angkatan 214 kg. Manakala Donato Telesca dari Itali pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas melakukan angkatan 213 kg.
Angkatan yang dilakukan Bonnie menyaksikan beliau mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jepun.
Terdahulu, kem negara meraih pingat emas pertama menerusi jaguh badminton para Malaysia, Cheah Liek Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5.