Pasukan Liga A1 Semi Pro, Bukit Tambun FC bakal diberi nafas baru menerusi nama baru pasukan iaitu Brotherkita FC.
Pengumuman ini dibuat pemilik dan pengerusi baru pasukan, Datuk Razalif Mohamad Zain kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Julai lalu.
Razalif memaklumkan sentiasa berhubung dengan pengelola liga, Liga Bola Sepak Amatur (AFL) bagi memastikan proses pengambilalihan dan pertukaran nama pasukan berjalan lancar.
Beliau turut memaklumkan pemilihan nama Brotherkita dibuat bagi menunjukkan nama jenama itu sedia bergiat aktif dalam arena bola sepak negara.
“Brotherkita telah bergerak aktif dari segi sukan permotoran, sukan-sukan lain dan sebagainya. Kita juga mahu dalam arena bola sepak, Brotherkita juga akan ada,” katanya seperti yang dilaporkan Harimau Malaya.
Sebagai langkah awal untuk meningkatkan kualiti permainan pasukan itu, anak buah Jacob Joseph bakal berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama seminggu.
Sepanjang berada di Dubai, mereka bakal melalui tiga perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan tempatan yang berkualiti. Ini dilihat sebagai persiapan sebelum aksi Liga A1 seterusnya menentang Malaysian University FT pada 5 Ogos ini.
Razalif turut mendedahkan rombakan akan dibuat untuk meningkatkan kualiti pasukan Bukit Tambun. Ini termasuk merekrut dua pemain import.
“Banyak pembaharuan yang perlu dibuat. Dan Insya Allah pada tetingkap perpindahan seterusnya, kita akan tukar banyak benda termasuk dari segi pemain. Kita akan masukkan pemain baru termasuk pemain import,” tambahnya.
Sekiranya proses pengambilalihan dan penjenamaan semula berjalan lancar, Bukit Tambun bakal memiliki dana sebanyak RM3.5 juta setahun.