Kelab gergasi Thailand, Buriram United terus memperkukuh pasukan mereka dengan mendapatkan bekas pemain tengah menyerang Newcastle United, Haris Vuckic. Thunder Castle melihat kehadiran pemain kebangsaan Slovenia itu dapat menambah sengat pasukan di bahagian serangan terutama dalam situasi bola mati.
Vuckic memulakan karier permainannya bersama kelab Slovenia, NK Domzale sebelum menyertai Magpies pada 2009. Bagaimanapun, kebanyakan karier permainannya banyak dihabiskan di kelab-kelab pinjaman seperti Cardiff City, Glasgow Rangers dan Wigan Athletic.
Hanya selepas dia menyertai kelab Belanda, FC Twente pada 2017, barulah Vuckic menikmati sejumlah perlawanan yang kerap sebagai pemain senior. Semasa di Enchede, bekas pemain Toon itu membantu The Tukkers menjuarai Eerste Divisie pada musim 2018-2019 sekaligus kembali layak ke liga utama Belanda Eredivisie.
Selepas tamat kontrak bersama The Tukkers, Vuckic menyertai kelab Sepanyol Real Zaragoza dengan kontrak selama semusim. Dari situ, dia menyertai pula kelab gergasi Croatia HNK Rijeka selama dua musim dan membantu mereka menjadi naib juara Piala Croatia.
Kelab-kelab Liga Thailand dijangka akan lebih gerun berdepan Thunder Castle selepas ini. Begitupun, para penyokong pastinya berharap rekod jaringannya bersama mereka musim ini jauh lebih baik berbanding di Newcastle, Twente, Zaragoza dan Rijeka. Tetapi dengan sokongan pemain import seperti Frank Castaneda dan Ayub Masika, Vuckic diharap menjadi peledak yang dapat membantu Buriram United mengekalkan kejuaraan liga yang dimenangi musim lepas.