Malaysia memiliki dua wakil yang berjaya mara ke pusingan suku akhir BWF World Championship 2026.
Kejohanan BWF World Championship 2026 sedang rancak berlangsung ketika ini di New Delhi, India menyaksikan 6 wakil dari Malaysia turun berjuang di pusingan 16 terbaik pada Khamis, diketuai Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Selain Aaron-Wooi Yik, 5 lagi beregu negara iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Pearly Tan-M. Thinaah dan Arif Junaidi-Yap Roy King turut mengintai slot ke pusingan suku akhir.
Walau bagaimanapun, impian untuk menyaksikan kesemua 6 wakil negara ini melangkah ke suku akhir tidak kesampaian apabila 4 daripadanya akur tersingkir kepada lawan masing-masing sekali gus menamatkan perjuangan di India.
Langkah beregu campuran utama negara, Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai dihentikan oleh jaguh China, Cheng Xing-Zhang Chi dalam aksi straight set yang mengambil masa selama hampir 34 minit dengan keputusan 21-15, 21-12.
Kehampaan turut dirasai oleh kem beregu wanita negara setelah Pearly Tan-M. Thinaah tewas di pusingan 16 terbaik kepada Febriana Kesuma-Meilysa Puspitasari dalam pertarungan sengit 3 set yang menamatkan langkah jaguh Malaysia itu.
Manakala, dua beregu lelaki negara terpaksa akur tersingkir setelah Man Wei Chong-Tee Kai Wun terpaksa menarik diri di saat akhir tatkala Arif Junaidi-Yap Roy King tumbang di tangan Chirag Shetty-Rankireddy dari India.
Perjuangan Malaysia di BWF World Championship 2026 kini disandarkan kepada dua beregu lelaki negara yang lain iaitu Nur Izzuddin-Goh Sze Fei dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk memastikan kejuaraan menjadi milik kita.
Cabaran besar bagaimanapun menanti Izzuddin-Sze Fei dan Aaron-Wooi Yik di suku akhir nanti apabila masing-masing dijadualkan bertemu jaguh Asia, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi (China) dan Seo Seung jae-Kim Won Ho untuk mara ke separuh akhir.
Aksi suku akhir BWF World Championship bakal berlangsung pada Jumaat, 21 Ogos 2026 dengan kedua-dua beregu negara ini dijadualkan bertarung di gelanggang dua, jangkaan bermula jam 6 petang waktu Malaysia.