Penyerang Sabah FC, Darren Lok menjangkakan cabaran lebih sukar menanti pasukan itu di peringkat suku akhir.
Sang Badak menjadi pasukan pertama yang mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2024/25. Ini selepas Sabah meraih kemenangan agregat 7-0 ke atas PT Athletic FC.
Kesemua tiga gol Sabah dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik dijaringkan dalam separuh masa kedua. Darren, Stuart Wilkin dan Joao Pedro mencetak nama sebagai penjaring gol.
Meskipun penyerang berusia 33 tahun itu gembira membawa Sabah ke suku akhir, Darren percaya cabaran lebih hebat menanti pasukan itu. Ini kerana Sang Badak bakal berdepan sama ada Penang FC atau Kuching City FC di peringkat berkenaan.
Kedua-dua lawan sudah membuktikan mereka bukan lawan mudah buat Sabah dalam saingan liga. Justeru, beliau melihat Sabah perlu kekal konsisten jika mahu meneruskan rekod enam kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.
“Kedua-dua pasukan sentiasa memberi kesukaran kepada kita dalam permainan. Anda tahu terutama jika anda pergi ke Kuching, ia satu tempat yang sukar buat pasukan yang bertandang.
“Tapi kita perlu pergi ke sana dengan keyakinan yang tinggi. Kita sudah meraih enam kemenangan berturut-turut. Jadi, harapnya kita dapat bawa momentum itu dalam permainan dan bawa kita ke peringkat seterusnya,” katanya.
Golnya ketika menentang PT Athletic merupakan gol kedua Darren untuk musim 2024/25. Sentuhan beliau dijangka ditagih pemangku jurulatih, Alto Linus menjelang aksi Liga Super menentang The Cats pada 4 Disember ini.