Pada hari Ahad nanti Chelsea akan menerima kunjungan Newcastle United bagi perlawanan minggu ke 28 Premier League. Pertemuan kali ini menarik perhatian peminat bola sepak Eropah berdasarkan situasi semasa kedua-dua kelab. Newcastle baru sahaja menjadi kelab kaya-raya namun berbeza pula dengan Chelsea yang tiba-tiba dilanda pelbagai masalah.
Umum mengetahui bahawa Newcastle United kini mula menemui rentak permainan terbaik mereka apabila bangkit keluar dari zon penyingkiran setelah mereka mendapat pemilik baharu Oktober lalu. Chelsea pula menerima tempias daripada Abramovich setelah UK membekukan asetnya dan kini Chelsea mengalami pelbagai masalah terutama dari segi kewangan.
Mungkin keterlaluan namun Chelsea boleh dikatakan telah ‘jatuh miskin’ kerana sekatan-sekatan tersebut menyebabkan kad kredit kelab turut dibekukan. Chelsea dilaporkan hanya dibenarkan berbelanja sekitar £20,000 bagi kos perjalanan away games manakala £500,000 bagi kos home games.

Aksi yang bertempat di Stamford Bridge ini berkemungkinan kali terakhir stadium tersebut akan dipenuhi para penyokong kerana sekatan ke atas aset Abramovich menyebabkan Chelsea tidak dibenarkan untuk menjual sebarang tiket perlawanan. Ini kerana tiket perlawanan tersebut sudahpun sold out sebelum berita berkenaan pembekuan aset diumumkan kerajaan UK menurut Football London.
Chelsea ketika ini tidak dibenarkan melakukan apa-apa transaksi wang bahkan mereka juga perlu menyewa hotel yang lebih murah bagi perlawanan ditempat lawan kelak kerana kekangan wang.
Dari segi taktikal, sudah tentu Chelsea menjadi pilihan utama untuk memenangi perlawanan ini lebih-lebih lagi anak didik Thomas Tuchel ketika ini sudah memenangi 4 perlawanan terakhir mereka. Newcastle pula semakin mendapat rentak terbaik mereka setelah kehadiran beberapa muka baharu.
Namun peluang masih terbuka kepada Newcastle ekoran beberapa masalah besar yang menimpa Chelsea mungkin menjejaskan fokus pemain Chelsea.
Kemenangan bagi Chelsea akan membantu kelab untuk mengejar Liverpool yang berada ditangga kedua liga manakala kemenangan Newcastle pula akan membantu kelab itu untuk terus memperbaiki kedudukan liga apabila berpeluang menghuni tangga ke-12 liga.