Kejutan besar dicipta beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin apabila menyingkirkan beregu ke-7 dunia Tang Chun Man-Tse Ying Suet dan melangkah ke final China Masters.
Sebagai pasangan campuran ke-4 negara, Pang Roon-Su Yin berjaya mengatasi setiap lawan termasuklah jaguh dari China untuk layak ke separuh akhir menentang Tang Chun Man-Tse Ying Suet.
Berdasarkan rekod pertemuan, wakil negara ini miliki rekod baik apabila mencatatkan kemenangan dalam aksi tunggal ketika berdepan Chun Man-Ying Suet di Macau Open lalu.
Permainan bermula baik buat Pang Roon-Su Yin apabila jauh meninggalkan Chun Man-Ying Suet dengan jurang lima mata pada suatu ketika sekaligus memberikan tekanan buat lawan dari Hong Kong itu.
Meskipun Chun Man-Ying Suet berusaha mengejar selepas interval, namun Pang Roon-Su Yin yang kini beregu ke-23 dunia tampil berbisa untuk menamatkan aksi di set pertama dengan kemenangan.
Kembali di set kedua, pertarungan menjadi sengit di awal aksi apabila servis kerap bertukar tangan hingga mata terikat 4-4, 8-8 dan 10-10 sebelum Chun Man-Ying Suet mendahului.
Pang Ron-Su Yin memberi saingan buat lawan di ranking ke-7 dunia itu namun terpaksa akur Chun Man-Ying Suet meraih kemenangan 21-17 untuk mengheret aksi ke set penentuan.
Di set penentuan, kedua-dua pasangan tampil bertenaga hingga kedudukan mata seimbang sebelum Pang Ron-Su Yin bangkit mengesahkan laluan ke final dengan kemenangan.
Aksi di gelanggang satu berakhir dengan kemenangan 21-14, 17-21, 21-19 buat Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.
Menanti Pang Ron-Su Yin di pentas final pada Ahad adalah beregu ke-2 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping yang menyingkirkan pasangan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.