Aksi separuh akhir China Masters pada Jumaat menyaksikan Nur Izzuddin dan Goh Sze Fei tewas di tangan beregu ke-13 dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia.
Izzuddin-Sze Fei dijadualkan berdepan wakil Indonesia ini di peringkat suku akhir China Masters apabila tampil cemerlang menyingkirkan beregu Jepun dan Chinese Taipei sebelum ini.
Kali terakhir kedua-dua pasangan ini bertemu adalah ketika pusingan kedua Indonesia Masters 2022 yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Izzuddin-Sze Fei dalam aksi 3 set.
Turun sebagai pilihan ke-7, Izzuddin-Sze Fei dipaksa bekerja keras apabila Gutama-Isfahani mula menekan dengan asakan hebat bagi kedudukan sering kali terikat di pertengahan aksi.
Walaupun diasak, beregu negara ini kekal tenang mengawal permainan di samping melancarkan serangan balas untuk memerangkap lawan dan memenangi aksi di set pertama 21-18.
Kembali ke set kedua, skrip seakan berulang setelah wakil Indonesia itu mula mendapat rentak dan mengutip setiap mata hasil kesilapan mudah yang dilakukan oleh Izzuddin-Sze Fei.
Pasangan negara ini cuba bangkit melawan dan mengejar kedudukan Gutama-Isfahani namun permainan lebih kemas ditampilkan beregu ke-13 dunia menutup set kedua dengan kemenangan.
Di set penentuan, perlawanan cukup sengit di antara kedua-dua beregu sebelum Gutama-Isfahani meraih kemenangan dalam tempoh 64 minit untuk mara ke separuh akhir.
Pertarungan di gelanggang 1 ini berakhir dengan keputusan 18-21, 21-19, 23-21.
Di peringkat separuh akhir, Gutama-Isfahani akan berdepan pasangan ketiga dunia dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu yang menewaskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam satu lagi aksi suku akhir.