Penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes melabel gol keduanya ketika menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) persis bekas bintang Barcelona, Neymar.
Hal itu dinyatakan bekas penyerang Buriram United itu apabila diminta mengulas golnya dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium MBPJ.
Selepas merobek gawang Kelantan TRW pada separuh masa pertama, Chrigor sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada pasukan pelawat.
Beliau bukan saja berjaya melepasi barisan pertahanan Kelantan TRW. Malah, Chrigor berjaya mengumpan penjaga gol, Damyan Damyanov keluar sebelum menolak bola ke dalam gawang yang kosong.
Penyerang berusia 25 tahun itu mengakui bukan mudah untuk menghasilkan gol berkenaan. Pada masa sama, Chrigor merasa gembira kerana berupaya meniru gol Neymar di hadapan penyokong Selangor.
“Gol yang kedua, gol yang hebat sama seperti Neymar. Sukar untuk dilakukan tetapi saya gembira melakukannya,” katanya selepas perlawanan.
Kebijaksanaan Chrigor memperdaya Damyanov dan barisan pertahanan Kelantan TRW turut mendapat pujian bekas penjaga gol The Red Giants, Azmin Azram Abd Aziz.
“Di sini nampak kebijaksanaan Chrigor Moraes lari untuk mencelah daripada barisan pertahanan Kelantan.
“(Kelicikan memperdaya penjaga gol Kelantan TRW), itu kebijaksanaan penyerang. Itu sahaja,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Selangor mara ke suku akhir Piala Malaysia apabila mengatasi pasukan Pantai Timur itu 5-1 secara agregat.
Bisa Chrigor bakal ditagih Kim Pan-gon menjelang aksi liga berikutnya menentang Terengganu FC pada 1 Februari ini.