Christophe Gamel Tak Menyesal, Selangor Beri Segalanya vs JDT
MakanBola
Selangor FC

Pengendali sementara Selangor, Christophe Gamel enggan menunding jari malah berbangga dengan persembahan para pemain ketika tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super pada Ahad.

Perlawanan tumpuan ramai membabitkan Selangor vs JDT berakhir dengan kemenangan selesa 2-0 memihak pelawat hasil jaringan sendiri Richmond Ankrah dan Bergson Da Silva.

Menurut Christophe Gamel, keputusan 1-0 pada perlawanan ini dilihat adil buat pasukannya setelah mengambil kira faktor deretan peluang yang turut dimiliki oleh Selangor sepanjang permainan.

”Bagi saya, keputusan 1-0 adalah adil. Kami juga mempunyai peluang sendiri.”

“Dalam perlawanan berintensiti tinggi seperti (bertemu JDT) ini, apabila anda mendapat satu atau pun dua peluang, anda perlu menyempurnakannya. Malam ini, perkara itu tidak berlaku.”

Sungguhpun dibolosi hasil kesilapan pemain, Gamel memilih untuk tidak menunding jari, sebaliknya cukup bangga melihat semangat juang yang ditampilkan apabila turun menentang JDT ini.

“Namun saya tidak boleh menyalahkan sesiapa atau menyesal kerana para pemain telah memberikan segalanya,” jelas jurulatih dari Perancis itu.

Keputusan 2-0 ini meletakkan JDT gah di takhta Liga Super dengan mengumpul 39 mata hasil 13 kemenangan berturut-turut sementara Selangor kekal di tangga ke-4, mengutip 25 mata.

Selepas ini, JDT akan bertandang ke Paroi untuk perlawanan berdepan Negeri Sembilan pada Jumaat, 9 Januari manakala Selangor akan terbang ke Brunei untuk menghadapi cabaran DPMM.