Pertahanan kental pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Matthew Davies menzahirkan rasa cinta yang tidak terhingga terhadap Malaysia.
Pemain kelahiran Australia itu merupakan tunjang utama buat skuad Harimau Selatan sejak beberapa musim kebelakangan ini apabila sering menjadi pilihan jurulatih untuk mengemudi benteng pertahanan pasukan.
Beliau bagaimanapun membuatkan ramai pihak tergamam apabila mempamerkan kebolehannya untuk berinteraksi dengan penyokong dalam bahasa Melayu.
Bekas bintang Sri Pahang ini menjadi sebahagian daripada pemain yang hadir ke Toppen Shopping Centre bagi sesi ramah mesra bersama para penyokong Harimau Selatan.
Pemain yang mesra disapa Mat Davies ini melayan permintaan peminat untuk melihatnya menjawab soalan dalam bahasa Melayu.
Ketika ditanya mengenai pemain yang paling sukar ditempuhinya di Malaysia, bekas pemain Perth Glory ini memberitahu bahawa rakan sepasukannya, Akhyar Rashid merupakan pemain yang dimaksudkan.
“Bagi saya salah seorang yang sukar ialah Akhyar Rahsid ketika beliau bersama Oedah dan saya di Pahang.”
“Beliau (Akhyar) merupakan seorang yang saya sukar nak lawan. Saya lega kerana saya tak perlu menentangnya lagi,” jelas Davies.
Davies terus menjadi pilihan ketua jurulatih, Tano Solari apabila mengemudi posisi pertahanan kanan dengan cukup baik dan membantu JDT untuk bolos hanya 3 gol dalam saingan Liga Super.