Advertising
Cita-Cita Awal Wan Rohaimi Tidak Kesampaian
MakanBola
Penang FC
Sponsors

Keinginan pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail meraih kemenangan pertama bersama pasukan itu pada 21 November lalu terbantut.

Wan Rohaimi dibawa masuk sebagai jurulatih baharu Sang Harimau Kumbang menggantikan pengendali sebelumnya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Ad

Meskipun beliau mengakui bukan mudah menghadapi cabaran Kuching City FC dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia, Wan Rohaimi melihat Penang mampu melakar kemenangan.

Ad

Ini terbukti apabila pasukan itu berjaya mengekang jentera serangan The Cats terdiri daripada Tchetche Kipre, Ramadhan Saifullah dan Nur Shamie Iszuan Amin pada separuh masa pertama.

Walau bagaimanapun, hasrat Penang untuk memburu kemenangan di Stadium Bandaraya musnah apabila Ramadhan menyumbat gol kemenangan buat Kuching City.

Ad

Penang berusaha memburu gol penyamaan menerusi dua pemain gantian, Nabil Ahmad Latpi dan Rodrigo Dias tetapi tidak berhasil.

Ad

Meskipun begitu, Wan Rohaimi tetap memuji semangat juang yang dipamerkan Sang Harimau Kumbang terutama dalam separuh masa kedua perlawanan.

Ad

“Secara keseluruhan, saya boleh bagi pujian kepada pemain lebih-lebih lagi di separuh masa kedua.

“Bukannya mereka tidak beraksi bagus di separuh masa pertama, tetapi mereka banyak hilang bola di bahagian serangan, jadi saya ada buat sedikit pertukaran pada babak kedua untuk mereka mula cipta peluang.

“Namun mereka tidak berjaya untuk melakukan penyudah yang berkesan, apa pun saya puas hati dengan komitmen mereka dan semangat juang sehingga 90 minit perlawanan,” katanya.

Penang berharap dapat mengatasi kelebihan satu gol The Cats dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia pada 30 November ini.

Seandainya Sang Harimau Kumbang tewas dalam aksi berkenaan, pasukan itu bukan saja terlepas tiket suku akhir Piala Malaysia. Malah, mereka akan beraksi dalam saingan MFL Challenge Cup 2024/25 bersama tujuh pasukan lain yang tersingkir.