MFL terus mendapat suntikan rakan penaja menjelang saingan Liga Super yang bakal bermula pada akhir bulan ini. Terbaru, syarikat penjagaan mulut dan gigi terkenal Colgate tampil sebagai penaja baru Liga Malaysia (Liga M) dengan kontrak selama semusim.
Kehadiran jenama yang sudah bertapak di Malaysia sejak 64 tahun lalu disambut baik oleh MFL menerusi Presidennya, Dato’ Ab Ghani Hassan. Ini menunjukkan penerimaan pihak swasta terhadap liga tersebut semakin meluas termasuk potensinya sebagai rakan komersial yang boleh dipercayai.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan Colgate terhadap MFL untuk menjalin kerjasama selaku penaja baharu musim ini.
“Ini satu permulaan yang baik di mana kita sedia maklum bahawa Colgate satu jenama yang cukup sinonim buat keluarga Malaysia dan kini bersama-sama MFL untuk menyumbang sesuatu buat bola sepak tanah air.
“Ini kali pertama Colgate terlibat dalam sukan bola sepak khususnya di negara ini dan ia jelas satu mesej cukup positif apabila sebuah syarikat global penjagaan kesihatan bersedia melangkah seiring bersama MFL dalam menaja Liga Malaysia yang kini diiktiraf antara liga terbaik dirantau ini.
“Perkembangan ini diharap dapat membuka mata lebih banyak syarikat-syarikat luar untuk menaja Liga Malaysia di mana saya percaya Liga Malaysia memiliki potensi yang cukup besar diterokai dari sudut komersial,” katanya.
Bagi CEO MFL, Stuart Ramalingam, kehadiran Colgate bakal menambah kemeriahan Liga M musim ini. Liga M musim 2023 bakal menampilkan enam kejohanan iaitu Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Piala MFL dan Piala Cabaran MFL.
“Kehadiran penaja baharu Colgate mencetuskan keyakinan buat MFL yang mengambil langkah besar untuk melakukan penstrukturan semula Liga Malaysia musim ini dalam usaha bukan sahaja menjadikan saingan lebih kompetitif malah memiliki nilai komersial lebih tinggi.
“Bagi MFL, kami amat mengalu-alukan jenama berasaskan kesihatan untuk bersama MFL kerana kita tahu sukan dan kesihatan mulut adalah saling berkait rapat. Oleh itu, bagi MFL, kita amat mengalu-alukan kolaborasi dengan jenama penjagaan diri.
Diharap kerjasama ini bukan sahaja akan mengukuhkan jenama Colgate malah dapat menyampaikan mesej mengenai penjagaan kesihatan mulut buat rakyat Malaysia menerusi pelbagai hebahan dan aktiviti yang diadakan bersama MFL,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive Malaysia, Edith Marquez-Reyes pula melihat kerjasama Colgate dengan MFL bakal memberi pengalaman bermakna untuk jenama itu di Malaysia.
“Jenama kami sentiasa berteraskan kepercayaan bahawa senyuman itu kekuatan, dan Liga Malaysia adalah inspirasi kepada semua warga Malaysia yang kita boleh, Malaysia boleh.
“Sementara pemain kita berusaha keras mengharungi Liga Malaysia dalam memburu kejayaan, Colgate pula sentiasa berusaha untuk memastikan kesihatan gigi dan mulut semua dijaga dengan baik.
“Kami berharap bahawa menerusi kolaborasi ini, kita akan lebih lagi saringkan senyuman dan optimism kepada semua warga Malaysia,” ujarnya.