Advertisements
Cristiano Ronaldo Pecah Rekod Penampilan Antarabangsa
Eropah
MakanBola
@selecaoportugal

Dengan penampilannya dalam perlawanan pembukaan Kumpulan J Kelayakan EURO 2024 Portugal-Liechtenstein, Cristiano Ronaldo telah mencipta sejarah tersendiri. Ini kerana legenda Portugal itu merekodkan penampilan ke-197 sekaligus merekodkan penampilan antarabangsa terbanyak sepanjang zaman.

Ini membantunya mengatasi rekod Badr al-Mutawa yang merekodkan 196 penampilan bersama Kuwait dan legenda bola sepak Malaysia, Datuk Soh Chin Aun (195 penampilan).

Ronaldo yang turut menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut turut melebarkan rekod gol antarabangsa terbanyak sepanjang zaman miliknya kepada 120 gol. Dua lagi gol Selecao disumbang oleh bek kiri Bayern Munich, Joao Cancelo dan pemain sayap Manchester City, Bernardo Silva.

Lebih menarik, dua gol yang dijaringkan itu menjadikan beliau menjaringkan gol untuk Portugal buat tahun ke-20 berturut-turut sejak 2004. Di sebalik usianya yang kini mencecah 38 tahun, Ronaldo terus konsisten mencetak nama sebagai penjaring.

Sebelum ini, ramai meragui sama ada Ronaldo dapat kembali beraksi bersama Portugal selepas beberapa kali digugurkan semasa Piala Dunia 2022 di Qatar. Bagaimanapun, di bawah jurulatih baru Roberto Martinez, penyerang Al-Nassr itu kembali dalam kesebelasan utama.

Ronaldo mencipta penampilan pertama bersama pasukan kebangsaan pada usia 18 tahun. Ketika itu, beliau tampil menggantikan legenda Portugal, Luis Figo dalam perlawanan persahabatan menentang Kazakhstan pada 2003.

Bekas penyerang Manchester United itu kini berpeluang memecahkan rekodnya sendiri dalam tugasan antarabangsa Portugal yang seterusnya. Selepas ini, Portugal akan menentang Luxembourg pada 27 Mac ini.