Crystal Palace Juara FA Cup Buat Kali Pertama, Benam Man City Di Final
MakanBola
Emirates FA Cup

Sejarah tercipta di pentas final FA Cup setelah Crystal Palace muncul selaku juara buat kali pertama setelah menumpaskan kelab gergasi England, Man City pada Sabtu.

Pertembungan di Stadium Wembley ini menarik minat ramai peminat bola sepak dengan Man City turun membawa impian untuk menjulang trofi pertama musim ini yang juga kejuaraan FA Cup ke-8.

Sementara Crystal Palace pula mahu mengakhiri badi di final FA Cup selepas dua kali dikecewakan pada musim 1990 dan 2016 bagi mencipta sejarah baharu kelab di kejohanan ulung ini.

Man City pertaruh bisa Erling Haaland serta Omar Marmoush untuk memimpin jentera serangan pasukan manakala Jean-Philippe Mateta, Daichi Kamada dan Eberechi Eze ketuai trio berbisa Crystal Palace.

Seawal minit ke-5 permainan, Erling Haaland terlebih dahulu menguji pintu gol Crystal Palace menerusi tampanan mudah yang dihalang oleh penjaga gawang, Dean Henderson hanya dengan satu tangan.

Gol pertama perlawanan akhirnya menjadi milik kelab Crystal Palace di minit ke-15 menerusi sebuah gerakan tersusun dari bawah sebelum Eberechi Eze menyudahkan dengan jaringan sulung The Eagles.

Peluang terbaik dimilik oleh Man City untuk menjaringkan gol penyamaan hadir pada minit ke-35 ketika pengadil memberi tendangan penalti kepada pasukan bimbingan Pep Guardiola ini.

Pemain sayap Mesir, Omar Marmoush gagal menyudahkan tugasan tersebut apabila penjaga gol Crystal Palace, Dean Henderson bertindak cemerlang menepis sepakan kencang itu.

Separuh masa pertama tamat, Crystal Palace 1-0 Man City.

Kembali dari bilik persalinan, Man City tanpa berlengah masa mengatur serangan bertali arus dalam usaha untuk memberi tekanan kepada lawan namun tidak membuahkan hasil yang diingini.

Malah, Crystal Palace yang berjaya menyumbat gol kedua di minit ke-61 menerusi tolakan mudah oleh pertahanan kanan, Daniel Munoz sebelum VAR membatalkan jaringan itu gara-gara ofsaid.

Ubi muda Man City, Claudio Echeverri memiliki satu peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan 1-1 akan tetapi Dean Henderson muncul wira Crystal Palace dengan satu lagi aksi penyelamatan hebat.

Aksi di Stadium Wembley berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Crystal Palace.

Ini merupakan kejuaraan FA Cup pertama buat Crystal Palace dalam sejarah penubuhan kelab manakala Man City pula akur terlepas peluang untuk muncul juara kejohanan ini untuk kali ke-8.