Kelab Korea Selatan, Daejeon Hana Citizen gagal mendapat suntikan moral sebelum bertemu dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Pasukan yang dibimbing Hwang Sun-hong itu menjadi mangsa belasahan juara K-League 1 musim 2026, FC Seoul dalam aksi terbaru liga pada 28 November lalu.
Son Jeong-beom meletakkan FC Seoul di hadapan pada minit ke-25. Cho Young-wook menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-39.
Bekas pemain Ulsan HD, Gustav Ludwigson mengurangkan defisit gol buat Daejeon Hana pada minit ke-63. Jeong-beom memulihkan kembali kelebihan dua gol FC Seoul pada minit ke-82.
Bekas bek tengah Selangor FC, Yazan Al-Arab memastikan kemenangan milik juara liga Korea itu pada minit ke-89. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Situasi ini dijangka meresahkan Sun-hong menjelang aksi menentang Harimau Selatan. Ini kerana pasukan itu kerap dibolosi terutama dalam saingan ACLE.
Malah, Sun-hong mengingatkan aspek pertahanan perlu diperbaiki segera jika Daejeon Hana mahu meraih keputusan positif di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Ini ditambah dengan pasukan itu memerlukan kemenangan untuk terus menghidupkan peluang layak ke pusingan 16 ACLE.


