Pemain pertahanan Kuching City FC, Ariff Farhan Mohd Isa menjadi pilihan bekas jurulatih Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil sebagai pemain terbaik perlawanan ketika menentang Phnom Penh Crown.
Nidzam memilih pemain pertahanan berusia 30 tahun itu kerana Ariff Farhan dilihat cukup konsisten bukan saja ketika bertahan. Malah, bekas pemain pertahanan Kedah itu juga kerap membantu Kuching City ketika melancarkan serangan.
Nidzam cukup mengenali Ariff Farhan kerana beliau telah memantau bakat pemain itu ketika bersama Felda United dan PKNS FC (kini Selangor FC II).
“Saya suka Ariff Farhan. Dia berikan segalanya. Sentiasa ada di tempat (yang tepat) dan suka menyerang. Sentiasa menang pertarungan satu lawan satu. Kita tak nampak banyak bola masuk daripada kawasan Ariff Farhan.
“Dan saya rasa pemain ini, saya pantau dia daripada Kedah, PKNS, Felda bersama saya. Kemudian kembali ke Kedah kan. Dia semakin matang, semakin matang.
“Saya harap dia dapat berkembang di bawah bimbingan Coach Aidil (Sharin Sahak) dengan semakin bagus. Saya rasa dia bermain permainan yang bagus hari ini,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Ariff Farhan membantu Kuching City menewaskan Phnom Penh Crown 3-0. Safawi Rasid, Jerome Mpacko Etame dan Dylan Wenzel-Halls masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.
Prestasi konsisten Ariff Farhan turut menyaksikan beliau dipanggil menyertai kem Harimau Malaya di China untuk dua aksi persahabatan antarabangsa. Ariff Farhan diberi peluang beraksi sebagai pemain gantian ketika Malaysia menewaskan Yemen 2-0.


