Advertisement
Datuk Hamidin Kesal Dengan Dakwaan Adam Adli
Dunia
MakanBola
Youtube Astro Arena

Semalam, industri sukan negara dikejutkan dengan kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Hamid bahawa rasuah merencatkan kemajuan sukan negara. Dan ini mengundang kenyataan tegas pelbagai pertubuhan sukan termasuk Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa kenyataan sebegitu perlu disokong dengan bukti yang kukuh.

Presiden MOM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria menyifatkan kenyataan beliau sebagai prejudis, tidak wajar dan tidak adil. Ini kerana badan-badan sukan negara telah melahirkan ramai jaguh dunia dalam disiplin sukan masing-masing selama bertahun-tahun lamanya.

“Sebagai badan penaung 57 Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), MOM amat kecewa dengan kenyataan Adam Adli yang tidak mempunyai justifikasi dan tidak disokong oleh sebarang bukti. Sepatutnya Adam Adli hendaklah mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum mengeluarkan kenyataan menyeluruh yang mencerminkan pemahaman yang lemah mengenai struktur sedia ada,” kata Mohamad Norza dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya lagi, beberapa NSA telah diiktiraf sebagai persatuan model dan mematuhi prinsip amalan terbaik tadbir urus yang baik. NSA terbabit juga telah membantu meningkatkan profil sukan negara dengan melahirkan jaguh dunia yang handal dalam acara badminton, lumba basikal, terjun, boling tenpin dan silat.

“Meskipun NSA terbabit tidak sempurna dan beroperasi dalam kekangan, anda tidak boleh menyamakan kami dengan mereka yang kurang bertanggungjawab. Tidak dinafikan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki namun tindakan mendakwa badan sukan mengamalkan rasuah adalah prejudis serta tidak matang,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan sama menyebut lebih baik jika Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Manakala Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt pula meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan Adam Adli yang dianggap bersifat populis.”Kenyataan itu tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak. Ia hanya bersifat merobek perasaan NSA yang kononnya adalah pihak berkepentingan terbesar dalam dunia sukan. Adalah tidak adil bagi mereka yang telah bertungkus-lumus dan bekerja siang malam untuk membuahkan kejayaan dalam acara sukan masing-masing,” katanya.