Senarai akhir 23 orang pemain yang bakal mengetuai cabaran negara pada Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 menyaksikan kelibat penyerang naturalisasi negara, Guilherme De Paula kekal menjadi taruhan Kim Pan-gon.
Penyerang berusia 36 tahun itu berada dalam senarai awal bersama-sama 3 orang lagi penyerang iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Syafiq Ahmad dan juga Darren Lok.
Namun begitu, rezeki tidak memihak kepada Mat Yo apabila tidak berjaya menempatkan diri dalam senarai akhir kali ini.
De Paula beraksi sebagai pemain gantian ketika menentang Brunei nyata memberi impak segera buat Harimau Malaya apabila membentuk gandingan yang cukup baik dengan Liridon Krasniqi untuk merencanakan gol kedua negara.
Beliau berjaya membuat satu bantuan gol yang disudahkan dengan cantik oleh pemain sayap Terengganu FC, Faisal Halim.
Malah, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) ini turut mencetak nama selaku penjaring apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk melebarkan kedudukan Malaysia.
De Paula telah pun berjaya mencuri hati pengendali kelahiran Korea Selatan itu untuk membawa cabaran negara menentang Bahrain, Turkmenistan dan juga Bangladesh beberapa hari lagi.
Ini juga menjadi medan terbaik buatnya untuk menutup segala tomahan dan kritikan dalam usaha membantu Malaysia meraih satu slot automatik ke Piala Asia.
Pan-gon sebelum ini juga sudah pun menyatakan bahawa pemilihan pemain dibuat mengikut perancangan dan juga penerapan taktikal yang ingin dilakukan selain mahu melihat versatiliti dan juga permainan dinamik ditampilkan oleh anak buahnya.
Malaysia bakal membuka tirai kejohanan dengan menentang Turkmenistan 8 Jun ini bagi meraih 3 mata pertama negara.