Perjalanan wakil tunggal Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi tumpuan tatkala aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) bakal bermula tidak lama lagi.
Pasukan kendalian Tano Solari sudah pasti mahu memperbaiki pencapaian hebat tahun lalu apabila mara ke pusingan kalah mati ACL 2022.
Malah, prestasi memukau dalam aksi domestik musim ini sudah pasti memberi suntikan tambahan buat Harimau Selatan melangkah ke Asia.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh AFC, JDT diletakkan dalam pot 3 bersama wakil Singapura, Lion City Sailors, Melbourne City (Australia), Hanoi FC (Vietnam) dan Kaya FC-Iloilo (Filipina).
Kedudukan JDT itu menyaksikan pasukan berpeluang untuk diundi bersama pasukan dari Jepun, Korea, Thailand dan China pada tahun ini.
JDT ketika ini masih berpeluang untuk bertemu semula gergasi Korea, Ulsan Hyundai (Pot 1), Kawasaki Frontale (Pot 2) dan juga Urawa Reds (Pot 4) pada edisi kali ini.
Undian bakal menyaksikan terbentuknya 10 kumpulan empat pasukan setiap satunya. Ia bakal menyaksikan pasukan dari Zon Barat diundi ke Kumpulan A hingga E manakala peserta di Zon Timur akan mendapat tempat dalam Kumpulan F hingga J.
Ini juga menjadi penyertaan buat kali kelima berturut-turut dengan kejohanan musim 2023/24 ini kembali menggunakan format secara ‘home and away’.
Pada ACL musim 2022, JDT melakar kejutan apabila muncul juara Kumpulan G di hadapan kelab Ulsan Hyundai, Kawasaki Frontale dan Guangzhou FC sekaligus layak ke peringkat 16 terbaik sebelum tewas 0-5 kepada juara AFC Champions League tahun lalu, Urawa Reds.
Undian ACL bakal berlangsung pada 24 Ogos 2023 pada jam 4 petang dengan kejohanan akan bermula pada September 2023 hingga Mei 2024.
JDT merekodkan pencapaian memberangsangkan dalam saingan domestik setelah memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dengan ketika mendahului saingan liga dengan 14 mata sementara layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.