Advertisement
Debut Bermakna 3 Pemain Muda JDT Di Piala Malaysia
Piala Malaysia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) memanfaatkan aksi pusingan 16 terbaik Piala Malaysia menentang KL Rovers FC dengan memberi penampilan pertama buat tiga pemain muda.

Tiga pemain tersebut ialah Muhammad Alif Abdul Mutalib, G. Pavithran dan Christian Abad. Alif dan Abad diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama oleh pengendali Harimau Selatan, Hector Bidoglio.

Manakala Pavithran pula masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua. Selain mereka, Bidoglio turut memberi peluang kepada Daryl Sham dan Aysar Hadi Shapri beraksi dalam kesebelasan utama.

Abad atau nama sebenarnya Christian Abad Amat menyertai Harimau Selatan dalam tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M) 2024/25. Sebelum ini, penjaga gol berusia 18 tahun itu pernah beraksi untuk skuad remaja Elche.

Alif pula merupakan pemain sayap untuk skuad JDT II yang beraksi dalam saingan Piala MFL. Manakala Pavithran merupakan sebahagian daripada skuad JDT III yang muncul juara Piala Presiden 2024 baru-baru ini.

Pengurusan Harimau Selatan mengucapkan tahniah buat ketiga-tiga pemain ini kerana berjaya meraih penampilan pertama di peringkat senior.

“Muhammad Alif Abdul Mutalib yang berumur 22 tahun, Pavithran Gunalan, 18 tahun dan Christian Abad Amat, 18 tahun masing-masing membuat penampilan sulung dalam skuad senior ketika perlawanan pertama Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025 antara JDT dan KL Rovers di Stadium Sultan Ibrahim pada Rabu, 20 November 2024.

“Dalam perlawanan itu juga, Harimau Selatan menurunkan Aysar Hadi Shapri yang berumur 21 tahun dan Daryl Sham, 22 tahun. Luaskan Kuasamu Johor,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Aksi pertama JDT menentang KL Rovers menyaksikan hatrik Heberty Fernandes membantu pasukan itu meraih kemenangan 3-0.

Bekalan tiga gol itu bakal dibawa untuk aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 30 November ini.