Di Sebalik Krisis, Tunku Ismail Senaraikan 6 Pencapaian Besar JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor menegaskan skuad Harimau Selatan tetap melalui musim yang luar biasa meskipun berdepan pelbagai cabaran dan krisis sepanjang kempen 2025/2026.

Menerusi satu kenyataan di media sosial, Baginda mengakui JDT berdepan situasi sukar apabila kehilangan beberapa tonggak utama termasuk kecederaan pemain terbaik negara, Arif Aiman Hanapi, selain tiga orang pemain yang dikenakan penggantungan.

Namun di sebalik situasi tersebut, JDT masih berjaya mengekalkan dominasi mereka di pentas domestik serta mencipta pencapaian membanggakan di peringkat Asia.

Antara kejayaan terbesar yang disenaraikan oleh Tunku Ismail ialah kejayaan JDT menjuarai Liga Super tanpa kalah, selain mencatat jumlah jaringan tertinggi dalam sejarah Liga Super Malaysia.

Menurut Baginda, pencapaian itu menjadi lebih bermakna memandangkan skuad Harimau Selatan ketika ini masih berada dalam proses transisi dengan kehadiran beberapa pemain baharu dalam pasukan.

Selain itu, JDT turut berjaya menjulang Piala FA dan mara sehingga ke peringkat suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE), sekali gus muncul antara lapan pasukan terbaik di Asia buat pertama kali dalam sejarah kelab.

Dalam masa sama, Harimau Selatan turut melangkah ke final Piala Malaysia dan separuh akhir Shopee Cup, membuktikan konsistensi pasukan dalam semua pertandingan yang disertai musim ini.

Baginda turut menekankan pencapaian JDT menyamai rekod dunia bagi jumlah perlawanan liga tanpa kalah, satu lagi bukti kestabilan dan dominasi berterusan kelab tersebut sejak beberapa musim lalu.

Tunku Ismail turut mengingatkan penyokong agar tidak terlalu mengikut emosi setiap kali pasukan mengalami kekalahan, sebaliknya melihat gambaran lebih besar terhadap pencapaian luar biasa yang berjaya diraih sepanjang musim.

“Kecewa dengan kekalahan itu normal, kalah menang itu adat pertandingan, tetapi jangan terlepas pandang pencapaian besar yang telah diraih pasukan musim ini,” titah Baginda.

Instastory Tunku Ismail 4 1 Di Sebalik Krisis, Tunku Ismail Senaraikan 6 Pencapaian Besar JDT
Instastory: DYAM Tunku Mahkota Ismail

Baginda turut menegaskan bahawa JDT bukan sekadar sebuah pasukan bola sepak, tetapi sebuah empayar dan gerakan yang dibina dengan visi jangka panjang.

“JDT, kami bukan satu pasukan, kami adalah sebuah empayar, kami adalah gerakan,” kata Baginda.