Pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools memberi cadangan kepada Kim Pan-gon dalam usaha untuk membentuk gandingan terbaik buat skuad negara.
Menurut Cools, terdapat beberapa aspek yang perlu ditekankan oleh jurulatih kelahiran Korea Selatan itu bagi memastikan Harimau Malaya dapat beraksi dengan cemerlang.
Dalam satu temubual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemain berusia 26 tahun merasakan bahawa antara aspek penting dalam pemilihan pemain adalah berkaitan dengan prestasi semasa pemain.
Beliau percaya antara ramuan terbaik yang perlu diterapkan adalah dengan mempertaruhkan barisan terbaik bagi membawa cabaran negara.
’Saya berharap agar kita membawa skuad terbaik dan jurulatih memilih barisan pemain terbaik yang kita ada.’
’Pemain yang dipanggil haruslah berada dalam keadaan yang sangat bersedia dan boleh untuk memberikan 100% kepada pasukan,’ – Jelas Cools.
Sambil itu, bekas pemain Club Brugge ini juga percaya dengan kualiti dan kemampuan yang dimiliki oleh pemain tempatan bagi merealisasikan misi Harimau Malaya.
Kim Pan-gon akan turun dengan ujian pertama bagi menghadapi perlawanan persahabatan tiga penjuru menentang Singapura dan Filipina pada Mac sebelum menghadapi ujian sebenar pada Kelayakan Piala Asia.
Ketika ini, jurulatih berusia 52 tahun itu sudah pun memulakan tugas awalnya iaitu dengan memantau prestasi para pemain pada perlawanan Piala Sumbangsih yang melibatkan pertembungan antara JDT dan KL City.