Pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools menampilkan persembahan yang cukup memberangsangkan sungguhpun pasukannya terpaksa akur untuk tewas dengan keputusan 2-0 ke atas STVV.
Pemain berusia 25 tahun itu turun dalam kesebelasan utama pasukan setelah beraksi cemerlang bersama Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan Tri Nations baru-baru ini.
Sungguhpun begitu, beliau tampil dengan sedikit kelainan apabila beraksi di posisi pertahanan kiri dalam perlawanan tersebut sungguhpun kebiasaannya memainkan peranan di bahagian pertahanan kanan.
Walau bagaimanapun, Cools tetap berjaya menjalankan tugasnya dengan baik apabila sering menggagalkan usaha lawan untuk mengatur serangan.
Malah, ketenangan dan juga kepantasan pemain kelahiran Sarawak, Malaysia ini jelas membantu pasukan untuk melakukan serangan balas pantas.
Bukan itu sahaja, beliau dilihat selesa untuk mengawal bola di kaki sambil bijak untuk melakukan hantaran-hantaran cantik bagi memulakan serangan.
Ini hakikatnya bukanlah kali pertama beliau beraksi pada posisi tersebut kerana semasa bersama kelabnya, FC Midtjylland, beliau sememangnya sering beraksi sebagai pertahanan kiri.
Pasukan pelawat memperoleh jaringan pertama menerusi Mory Konate pada minit ke-52 sebelum jaringan Rocco Rietz mengesahkan kemenangan pada perlawanan tersebut.
Zulte Weregem kini berada pada tangga ke-16 liga selepas 33 perlawanan dengan mengumpul 32 mata secara keseluruhannya.