Dua tonggak Harimau Malaya, Dion Cools dan Hector Hevel bakal melapor diri ke kem latihan pusat sedikit lewat di atas sebab yang munasabah.
Pada Khamis, Peter Cklamovski menerusi satu sidang media telah mengumumkan senarai 38 pemain yang dipanggil bagi menyertai kem latihan kebangsaan menjelang dua aksi getir pada bulan Jun.
Walau bagaimanapun, kem latihan yang sepatutnya bermula pada 18 Mei ini hanya akan disertai oleh 28 pemain terlebih dahulu sebelum disertai oleh 10 orang lagi pemain pada fasa kedua dan ketiga.
Dion Cools dan juga Hector Hevel antara dua orang pemain negara yang akan l melapor diri sedikit lewat iaitu pada fasa ke-3 iaitu 1 Jun nanti setelah selesai tugasan bersama kelab, Buriram United.
”Ya, mereka (Dion Cools dan Hector Hevel) akan melapor diri pada fasa ke-3 (1 Jun) dan keputusan ini dibuat berdasarkan jadual mereka di hujung musim ini,” kata Peter Cklamovski.
”Dion Cools beraksi di final Shopee Cup malam tadi (Rabu) dan dia akan terus bermain untuk Buriram. Jadi, dia perlukan beberapa hari sebelum kembali sertai pasukan kebangsaan.”
”Sangat menarik untuk menantikan ketibaan Dion Cools dan Hector Hevel juga setelah mempamer aksi cemerlang ketika berdepan Nepal (Mac lalu).”
Skuad Harimau Malaya ini dijadualkan berdepan negara ke-72 dunia, Cape Verde dalam dua aksi persahabatan terbuka dan tertutup masing-masing pada 29 Mei di Cheras serta 3 Jun di Bukit Jalil.
Dua perlawanan pemanas badan ini diatur sebagai persiapan bagi menghadapi aksi penting Kelayakan Piala Asia berdepan pencabar hebat Malaysia iaitu Vietnam di Bukit Jalil pada 10 Jun nanti.