Dion Cools Puas Hati Dengan Mentaliti Pemain Malaysia

Dion Cools 14 Dion Cools Puas Hati Dengan Mentaliti Pemain Malaysia
FA Malaysia

Kapten Harimau Malaya, Dion Johon Cools memuji mentaliti yang dipamerkan rakan sepasukannya pada aksi pertama kempen King’s Cup 2022 yang berlangsung di Stadium Chiang Mai pada semalam.

Malaysia telah menundukkan Thailand dalam penentuan sepakan penalti setelah terikat dengan keputusan seri 1-1 setelah 90 minit bermain. Penjaga gol negara, Syihan Hazmi menjadi wira pasukan apabila berjaya menyelamatkan satu sepakan penalti pemain Thailand, Supachok Sarachat.

Dion Cools yang diberi lilitan kapten telah menjalankan tugas dengan cukup baik menjaga benteng pertahanan bersama-sama Matt Davies dan Khuzaimi Piee. Gandingan trio ini beberapa kali berjaya menyekat setiap asakan yang direncakan pasukan Thailand.

Beliau dalam satu ciapan hari ini seperti tidak sabar untuk turun beraksi di pentas final Ahad kelak.

Pemain berusia 26 tahun itu yakin anak buah kendalian Kim Pan-gon akan beraksi sehabis baik dan berikan segalanya di atas padang. Walaupun berdepan lawan yang sukar, skuad kali ini akan terus menerapkan mentaliti yang baik dan positif.

Malaysia bakal berdepan Tajikistan pada akhir akhir kejohanan King’s Cup pada Ahad jam 9.30 malam.