Pertahanan Harimau Malaya, Dion Johan Cools menyatakan bahawa beliau kini tidak sabar untuk beraksi di hadapan penyokong Harimau Malaya.
Malaysia bakal menjadi salah satu tuan rumah bagi kejohanan Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini yang menyaksikan pasukan negara diundi bersama Bahrain, Turkmenistan dan juga Bangladesh.
Dalam satu temubual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemain berusia 26 tahun ini menegaskan, peluang untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri bakal memberi kelebihan buat Malaysia.
’Sudah pastinya ia menjadi kelebihan buat kita (Malaysia) untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri.’
Cools juga mengetahui bahawa impak yang dibawa oleh para penyokong Ultras Malaya amat memberi kesan kepada Malaysia dan tidak dapat menyembunyikan hasrat untuk beraksi di Malaysia.
Sungguhpun keputusan untuk membenarkan penyokong masuk ke dalam stadium masih tidak dapat dipastikan berikutan kes COVID-19, namun Cools percaya kehadiran mereka amat memberi kesan.
’Kehadiran penyokong amat penting jika keadaan tidak berlangsung seperti yang diharapkan, namun jika semua pemain memberikan 100% maka kita dapat wujudkan persekitaran yang positif,’ -Jelas beliau kepada Astro Arena.
Pemain yang beraksi bersama pasukan SV Zulte Waregem ini mengakui bahawa ini merupakan pengalaman terbesarnya untuk beraksi di tempat sendiri kerana bilangan penyokong yang jauh lebih ramai.
Cools juga tidak sabar untuk memberikan yang terbaik sekiranya diberi peluang oleh jurulatih, Kim Pan-gon untuk mewakili Harimau Malaya kelak.