Dion Cools Terima Pujian Media Czech, Bantu Jablonec Atasi Slovácko

dion cools jablonec vs slovacko Dion Cools Terima Pujian Media Czech, Bantu Jablonec Atasi Slovácko
FK Jablonec
Syafiq Freman @syafiqfreman
1:56am 19/09/2022

Jablonec mengejutkan tuan rumah, Slovácko dengan kemenangan bergaya 0-2 dalam satu aksi perlawanan Liga Czech sekaligus naik 4 anak tangga ke tangga ke-9 liga.

2 jaringan lewat permainan oleh Matěj Polidar dan Jakub Považanc memastikan 3 mata penuh milik Jablonec yang turut diwakili pemain dari Malaysia, Dion Cools.

Dalam aksi ini Dion Cools beraksi penuh 90 minit perlawanan dan turut hampir-hampir menjaringkan gol namun Dion Cools memilih untuk membuat hantaran kepada rakannya yang gagal menyudahkan peluang pada minit ke-30.

Kehadiran Dion Cools ke Liga Czech turut menarik perhatian media rasmi pengelola Liga Czech, Fortuna Liga yang melirikkan peluang dicipta pemain kelahiran Kucing, Sarawak ini.

“Selepas setengah jam, Jablonec mengancam sekali lagi dengan rembatan jauh Chramosta dan larian Jovovic ke dalam kotak, keunggulan pasukan Bohemia Utara dalam fasa permainan ini turut didokumentasikan menerusi pukulan tajam oleh Cools, pemain terbaru dari Malaysia,” lapor media Fortuna Liga, pengelola rasmi liga Czech.

Dalam aksi pertama Dion Cools bersama kelab barunya ini, beliau berjaya menjaringkan 1 gol sekaligus memastikan Jablonec layak ke pusingan ke-3 Piala Czech.

Dion Cools akan berehat seketika dari aksi liga dan akan terus terbang ke Thailand pada Selasa ini untuk membantu pasukan Malaysia di King’s Cup 2022.