Dollah Salleh Buat Giancarlo Gallifuoco Tak Sabar
MakanBola
KLCMC/FAM

Bek tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Giancarlo Gallifuoco mengakui tidak sabar bekerjasama dengan jurulatih baharu pasukan itu, Datuk Dollah Salleh.

Gallifuoco berpandangan sedemikian kerana sepanjang beraksi bersama KL City sejak 2021, beliau tidak pernah beraksi di bawah bimbingan jurulatih tempatan.

Justeru, bekas bek tengah Tottenham Hotspur itu melihat pengalaman bekerjasama dengan legenda bola sepak negara itu merupakan satu peluang berharga buat dirinya.

“Kita tahu betapa hebatnya beliau semasa bergelar pemain. Dan kita juga tahu betapa hebatnya beliau semasa menjadi jurulatih Pahang dan skuad kebangsaan.

“Bagi saya, ini satu penghormatan dan juga sepanjang saya berada di sini, saya berada di bawah bimbingan jurulatih asing. Ia sesuatu yang indah bagi seorang jurulatih tempatan yang dihormati semua orang dan mengenalinya sebagai pemain dan jurulatih.

“Saya cukup teruja, kita ada berbual beberapa kali. Beliau jenis orang yang peramah tetapi bila beliau bercakap, semua orang dengar,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Gallifuoco mengakui KL City bakal beroperasi dengan bajet yang lebih kecil berbanding pada musim lalu. Justeru, beliau melihat semua pemain perlu bekerja keras untuk mengulangi pencapaian lalu.

Pada masa sama, Gallifuoco turut melihat Dollah sebagai figura yang sesuai untuk memimpin pasukan Lembah Klang itu.

“Saya fikir pada tahun ini, kita akan bersaing dengan bajet yang lebih kecil. Ini satu musim di mana kita perlu kekal bekerjasama rapat dan bekerja keras.

“Dan saya fikir (Dollah) orang yang sempurna untuk tugas ini,” tambahnya. Dollah diumumkan sebagai jurulatih baharu KL City menggantikan jurulatih sebelumnya, Risto Vidakovic.

Bekas jurulatih Sri Pahang FC itu akan dibantu Ishak Kunju Mohamad dan Wan Mustaffa Wan Ismail sebagai penolong jurulatih. Bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz pula memikul tugas sebagai jurulatih penjaga gol.

KL City kini dikaitkan dengan perpindahan beberapa pemain berkaliber. Antaranya Ibrahim Manusi, Syafiq Ahmad dan Saiful Jamaluddin.