Dua jurulatih dari pasukan Liga Super mengesan kekuatan sebenar yang dimiliki oleh Sabah.
Sabah kini berada di momentum terbaik setelah merekodkan kemenangan bersih dalam 4 perlawanan terakhir dengan kali terakhir The Rhinos tewas ketika menentang PDRM pada 21 September lalu.
Sejak kekalahan itu, anak didik Datuk Ong Kim Swee bangkit melakar satu demi satu kemenangan ke atas Perak, Penang, Kedah dan terbaharu mengatasi Kelantan DN di Likas minggu lalu.
Menurut pengendali Perak, Yusri Che Lah, hampir kesemua gol yang dijaringkan Sabah berpunca dari situasi bola mati yang dimanfaatkan oleh ketinggian pemain seperti Gabriel Peres dan Daniel Ting.
”Tiga daripada empat (jaringan Sabah) berpunca dari situasi bola mati (meskipun) sebenarnya kita telah membuat banyak kerja rumah,” ujar Yusri setelah Perak tewas di tangan Sabah pada 19 Oktober lalu.
“Kami merancang untuk elakkan memberi Sabah situasi bola mati tetapi kita tahu permainan 90 minit mana mungkin kita dapat elak perkara tersebut.”
“Jadi kita tahu ketinggian pemain seperti Gabriel Peres, Joao Pedro, Daniel Ting dan Telmo Castanheira yang begitu tinggi, kita terpaksa membuat pilihan bagi mengawal pemain ini.”
Perkara serupa diluahkan oleh pembantu jurulatih Kelantan DN, Rezal Zambery Yahya yang melihat faktor ketinggian pemain menjadi kelebihan buat Sabah untuk menjaringkan gol.
”(Kekalahan ini) sangat-sangat megecewakan. Sabah dapat menjaringkan gol (dengan) mudah. Kita kalah bola tinggi,” komen Rezal selepas aksi bertemu Sabah pada minggu lalu.
“Ketinggian pemain import Sabah satu kelebihan dan mereka menggunakan kelebihan itu untuk menghukum Kelantan Darul Naim FC,” ujar pembantu jurulatih tersebut.
Carta Liga Super kini menyaksikan Sabah berada di tangga ketiga dengan 26 mata sementara Perak di kedudukan ke-7 dengan 17 mata dan Kelantan DN di tempat ke-12 dengan 7 mata.
Saingan Liga Super kini berehat seketika bagi memberi laluan untuk dua aksi penting membabitkan skuad Harimau Malaya yang bakal berdepan Laos dan India.