Liga Super 2021 hampir melabuhkan tirainya dengan Johor Darul Ta’zim telah mengesahkan kejuaraan liga manakala pasukan UiTM FC dan Perak FC mengalami nasib kurang baik selepas disahkan tersungkur ke Liga Premier bagi saigan musim hadapan.
Tatkala tumpuan terarah kepada kejuaraan kali ke-8 pasukan JDT, momentum pasukan Selangor kini menjadi bualan para peminat bola sepak apabila mereka kini mengharungi 6 perlawanan tanpa kalah.
Selangor berhadapan musim yang sangat mencabar bagi mereka untuk memberi saingan sengit kepada pasukan-pasukan yang bertanding. Mereka berhadapan beberapa krisis yang menidakkan kejayaan pasukan gergasi merah ini.
Pertahanan Yang Rapuh
Selangor tidak berhadapan masalah besar di bahagian serangan dan segalanya terbukti dengan penyerang import mereka Ifedayo Olusegun yang kini berada di tangga teratas penjaring terbanyak liga dengan 25 gol.

Namun mereka mempunyai krisis pertahanan yang agak rapuh. Mereka kini dibolosi 28 gol dalam 21 perlawanan yang mana menjadi bolos tertinggi di antara 5 pasukan teratas liga.
Kini barisan pertahanan Selangor yang dibarisi pemain-pemain muda dilihat semakin matang dan serasi. Jika diberikan masa lebih lagi, pastinya krisis pertahanan rapuh akan diatasi dengan baik dengan bantuan kejurulatihan pasukan.
Siri Kecederaan Pemain
Kecederaan pemain bagi pasukan Selangor FC musim ini seperti sudah menjadi satu perkara yang ‘biasa’ bagi peminat bola sepak tanah air.
Beberapa pemain utama Selangor mengalami kecederaan yang mengambil masa yang panjang untuk sembuh.
Antara pemain utama mereka yang mengalami kecederaan musim ini ialah pertahanan import, Tim Heubach , pemain import Slot ASEAN, Safuwan Baharuddin dan juga penyerang negara, Shahrel Fikri.
Tidak dilupakan juga kecederaan yang menimpa arkitek mereka Halim Saari yang terpaksa berehat sehingga 6 bulan dan ketua pasukan mereka, Brendan Gan yang disahkan menghidap kanser.
Penutup
Kedua-dua krisis ini jelas menjadi satu masalah yang mengganggu konsistensi pasukan Selangor FC dalam mengharungi Liga Super musim ini. Namun pujian harus diberikan kepada pengendali pasukan, Karsten Neitzel yang berani mengetengahkan pemain-pemain muda untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

Jika dua krisis utama ini dapat diatasi dengan segera, pastinya Selangor FC akan menjadi pencabar yang terkuat dalam saingan Piala Malaysia yang akan dilangsungkan tidak lama lagi.