Kemboja bakal diperkuatkan dengan kehadiran dua peledak naturalisasi untuk kempen Piala Mitsubishi Electric ASEAN (PMEA) 2024.
Dua peledak tersebut ialah Abdel Kader Coulibaly dan Andres Nieto. Coulibaly dan Nieto masing-masing mewakili kelab ISI Dangkor Senchey dan Phnom Penh Crown.
ASEAN Football melaporkan kedua-dua penyerang ini telah menerima kebenaran untuk mewakili Kemboja di peringkat antarabangsa. Coulibaly telah mendapat kebenaran daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Nieto dan rakan sepasukannya dari Jepun, Takaki Ose pula menerima kelulusan daripada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF). Pemeriksaan teliti yang dilalui ketiga-tiga pemain ini menyaksikan mereka kini boleh beraksi untuk Angkor Warriors.
Coulibaly yang berupaya beraksi di beberapa posisi termasuk penyerang sudah merekodkan 33 penampilan, 11 gol dan empat bantuan gol untuk ISI Dangkor Senchey sejak dua musim lalu.
Nieto pula merekodkan 11 penampilan dan 11 gol bersama The Red Singha untuk musim 2024/25.
Kehadiran dua pemain ini menambah lagi kekuatan Kemboja di bahagian serangan. Sebelum ini, Angkor Warriors diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain naturalisasi Jepun termasuk Ose.
Kemboja bakal berdepan Malaysia untuk aksi pembukaan PMEA 2024 pada 8 Disember ini.