Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon telah pun mengesahkan bahawa beliau telah pun memilih E. Elavarasan sebagai penolong jurulatih tempatan dalam senarai barisan kejurulatihan Harimau Malaya.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu telah meneliti kesemua calon yang memohon jawatan tersebut dan mahu menjadikan pengendali berusia 60 tahun itu dalam senarai barisan kejurulatihan Harimau Malaya kendaliannya.
Bukan itu sahaja, Elavarasan dilihat sebagai calon yang paling ideal menurut kaca mata pengendali berusia 52 tahun itu disebabkan beliau memenuhi kriteria yang dimahukan olehnya.
Sebelum ini, Pan-gon ada menyuarakan dalam sesi sidang media semasa pengenalannya tempoh hari bahawa beliau mahu mendapatkan seorang jurulatih yang berpengalaman berkenaan bola sepak tempatan.
Setelah melakukan penilaian, bekas jurulatih pasukan kebangsaan Hong-Kong ini melihat ketua jurulatih Sarawak United ini sebagai calon yang dikehendakinya.
Oleh yang demikian, tugas utama E.Elavarasan ketika ini adalah untuk membantu Pan-gon bagi mengenal pasti kriteria pemain yang dimahukan olehnya apabila saingan liga dijangka bermula pada bulan Mac ini.