Eddy Gapil Syukur Isu Gaji PDRM Selesai
MakanBola
PDRM FC

Jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil mengakui bersyukur kerana isu gaji yang membelenggu pasukan itu kini selesai.

Sebelum ini, PDRM dibelenggu isu gaji yang berlarutan selama enam bulan. Isu tersebut turut menjejaskan prestasi pasukan itu di atas padang.

Malah pada November lalu, Malaysian Football League (MFL) menjatuhkan denda RM70,000 dan mengenakan sekatan perpindahan kepada PDRM susulan isu berkenaan.

Kini, Eddy memaklumkan isu tersebut sudah selesai. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan PDRM kerana berjaya menyelesaikan isu tunggakan gaji pasukan itu.

“Pertama sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pengurusan PDRM. 

“Dan saya harap pemain-pemain dan keseluruhan pasukan agar dapat memberikan aksi yang terbaik untuk menentang pasukan Imigresen yang akan datang,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Berita ini dijangka menyuntik semangat PDRM menjelang aksi Liga Super menentang Imigresen pada 25 April ini.

Meskipun kehilangan Alif Naquiddin yang perlu menjalani penggantungan perlawanan, Elisha Kashim dijangka kembali menambah sengat PDRM di bahagian serangan.