Selepas hanya mengutip satu kemenangan sejak Oktober lepas, akhirnya Chelsea menang juga. Ini selepas mereka mengatasi cabaran Crystal Palace 1-0 di Stamford Bridge dalam perlawanan EPL hari ini.
Sebaik sepak mula, Chelsea mula mengasak kubu pertahanan Palace. Tetapi The Eagles yang pertama menguji kecekapan Kepa Arrizabalaga menerusi percubaan Tyrick Mitchell pada minit ke-19.
Michael Olise dua kali mengatasi bek kiri muda Lewis Hall sebelum membuat satu hantaran dari sebelah kanan ke dalam kotak penalti tuan rumah. Kepa bergelut mengawal bola sebelum menghalang Mitchell dari menolak bola ke dalam gawang.
Seminit selepas itu, giliran Olise pula mengancam gawang Blues. Selepas menerima hantaran Wilfred Zaha, bekas pemain Reading itu melepaskan sepakan voli yang berjaya ditepis bekas penjaga gol Athletic Bilbao itu.
Blues kemudiannya menguji kecekapan penjaga gol pelawat, Vicente Guaita menerusi percubaan voli bek tengah veteran Thiago Silva.
Silva memenangi bola sebanyak tiga kali dari satu sepakan sudut sebelum melepaskan voli ke arah Guaita. Bagaimanapun, bekas penjaga gol Getafe itu berjaya menepis percubaannya.
Peluang terbaik tuan rumah mendahului hadir menerusi Hall pada minit ke-41. Conor Gallagher membuat hantaran ke arah Kai Havertz dalam kotak penalti tetapi gagal dicapai penyerang Jerman itu.
Bola kemudiannya jatuh ke kaki Hall yang tidak dikawal sebelum melepaskan rembatan ke arah gol. Bagaimanapun, percubaannya tersasar sama sekali.
Sebelum babak pertama berakhir, kedua-dua pasukan hampir menjaringkan gol. Jeffrey Schlupp hampir membolosi gawang Blues tetapi berjaya ditolak oleh Kepa. Sementara serangan balas yang digerakkan oleh Hakim Ziyech turut dinafikan oleh Guaita bagi mengekalkan keputusan 0-0.
Selepas rehat, Chelsea terus menggandakan asakan. Dan hasilnya, mereka berjaya mendahului menerusi tandukan Kai Havertz pada minit ke-64.
Gol terhasil menerusi sepakan sudut pendek sebelum Ziyech menghantar bola ke dalam kotak penalti Eagles. Havertz yang tidak dikawal mudah menanduk bola ke arah gawang Palace untuk gol pertama perlawanan.
Havertz kemudiannya hampir menambah gol kedua menerusi tandukan pada minit ke-80 tetapi tandukannya tersasar. Enam minit selepas itu, Kepa menepis percubaan jarak jauh Cheick Doucoure.
Dengan perlawanan memasuki minit-minit akhir, pasukan pelawat terus menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan. Tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Dengan keputusan ini, Chelsea kekal di tangga ke-10 dengan 28 mata, lapan mata di belakang Newcastle United yang menduduki slot terakhir kelayakan Liga Juara-Juara Eropah.
Manakala Palace pula kekal berada di tangga ke-12, tujuh mata di atas zon penyingkiran. Selepas ini, Blues bakal berdepan Liverpool di Anfield pada 21 Januari. Sementara Palace pula melayan kunjungan Manchester United pada awal pagi 19 Januari.